Rimbabara Daily

Semasa, Hiburan & Trending

PASUKAN Polis Marin (PPM) menerima maklumat ada dua bot dinaiki etnik Rohingya kini berada di kawasan perairan negara jiran dan menunggu masa untuk menceroboh masuk ke Malaysia.

Komander PPM Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mohd Yusof Mamat berkata, selepas insiden cubaan 200 pendatang asing tanpa izin (Pati) etnik Rohingya menyeludup masuk ke negara ini menerusi perairan Langkawi berjaya dipatahkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), pihaknya menerima maklumat masih terdapat bot lain sedang cuba masuk ke sini.

Menurutnya, buat masa ini, mereka tidak berani masuk ke Malaysia selepas semua agensi membabitkan PPM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengetatkan kawalan di perairan negara.

“Apa yang kita terima memang ada dua bot lagi berada di perairan negara jiran.

“Namun disebabkan kawalan ketat ini dengan tiga lapisan daripada ATM, APMM dan PPM menyebabkan mereka tidak berani masuk ke negara ini untuk berlabuh,” katanya.

Turut diceritakan lagi, dengan bayaran hanya RM1,500 mampu untuk mereka masuk Malaysia.

Bagaimanapun, ada yang bernasib malang apabila mereka ditipu selepas membayar wang kepada ejen sindiket dan akhirnya menjadi mangsa pemerdagangan manusia.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, Malaysia menjadi pilihan utama etnik Rohingya atas beberapa faktor di mana antaranya kerana saudara mereka seperti bapa saudara, abang, kakak atau suami sudah lama menetap di sini.

Menurutnya, saudara mereka ini sanggup mendahulukan wang pinjaman bagi tujuan bayaran kepada ejen penyeludup.

“Mereka juga tertarik ke sini apabila menerima maklumat positif kehidupan di Malaysia melalui rakan dan saudara.

“Selain itu, Malaysia negara Islam dan memudahkan mereka untuk mengamalkan ajaran Islam selain ekonomi stabil dan peluang pekerjaan tinggi dengan gaji yang mahal menyebabkan etnik Rohingya sanggup datang ke sini,” katanya dalam temubual khas bersama Harian Metro, baru-baru ini.

Mohd Zubil berkata, pihaknya memandang serius isu penyeludupan manusia termasuk etnik Rohingya terutama ketika ini negara menghadapi Covid-19.

“Siasatan kita yang dibuat ke atas 202 pendatang asing tanpa izin (Pati) terdiri daripada etnik Rohingya ditahan di pantai berhampiran sebuah pusat peranginan di Kampung Teluk Nibong, Langkawi, 5 April lalu menunjukkan ada kumpulan lain sedang merancang untuk membawa Pati ke negara ini.

“Kita menyiasat dari semua sudut bagaimana kemasukan mereka ini yang dilihat satu kemasukan secara sukarela didalangi sindiket dengan mengenakan sejumlah bayaran,” katanya.

Beliau berkata, bayaran bermula dari kem pelarian Rohingya di Cox’s Bazar di mana apabila dibawa ke pantai, sebanyak RM2,000 hingga RM2,500 dikenakan untuk membawa mereka menaiki bot ke Malaysia.

“Mereka akan dibawa menaiki bot kecil dahulu sebelum dipindahkan ke dalam bot besar yang akan bertolak ke destinasi yang ingin dituju yang mana pasti bukan Thailand atau Indonesia sebaliknya Malaysia.

“Jenayah ini memang sudah dirancang dengan pembayaran keseluruhan sebanyak RM15,000 setiap seorang akan dibayar sebaik tiba di Malaysia.

“Ini satu perniagaan amat menguntungkan kerana kos bot sekitar RM200,000 dan mereka mampu memperoleh lebih RM3 juta jika membawa 200 orang dalam satu bot besar,” katanya.

Lebih malang, katanya, ada yang tiba di sini terpaksa membayar hutang kepada individu yang meminjamkan wang itu apabila gaji yang diterima perlu diserahkan kepada individu terbabit.

“Malah ada yang ditahan mendakwa memiliki kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) tetapi kad itu perlu disahkan sama ia palsu atau tulen,” katanya.

Buru dua dalang utama seludup Rohingya

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memburu dua dalang utama etnik Rohingya terbabit dalam kegiatan penyeludupan manusia susulan penahanan enam tekong darat yang juga ahli sindiket terbabit.

Ketua Pengarahnya Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, sebelum ini, pihaknya menahan dua lelaki etnik Rohingya pada 16 dan 18 April di Kedah disusuli penahanan empat lagi tekong darat, 3 Mei lalu.

Menurutnya, mereka masih dalam tahanan reman dan akan dibawa ke mahkamah untuk didakwa.

“Bagaimanapun kita memburu dua lagi individu yang juga suspek utama menjalankan kegiatan ini.

“Kita harap dalam masa terdekat dapat menahan suspek utama itu yang akan merungkai kegiatan mereka membabitkan urusniaga dan pindahan wang,” katanya dalam temu bual khas bersama Harian Metro.

Mohd Zubil berkata, apabila suspek utama ditangkap, mereka diharap dapat mendedahkan identiti rakyat tempatan terbabit dalam kegiatan itu.

“Dalam rekod kita ada senarai yang dikenal pasti dan sebahagian besarnya sedang dijejaki pasukan risik.

“Manakala jumlah sebenar dalang dan tekong aktif yang terbabit subjektif dan berubah-ubah,” katanya.

Beliau berkata, hal ini kerana sebahagian daripada mereka menjalankan aktiviti atas kapasiti membantu apabila diperlukan.

“Ketibaan pendatang asing tanpa izin (Pati) ini diuruskan ejen di darat yang juga masyarakat tempatan sama ada menyediakan penginapan sementara, makan minum, khidmat penukaran wang dan sebagainya.

“Untuk rekod, pada 2018, APMM menahan 56 Pati etnik Rohingya terdiri daripada 19 lelaki, 17 wanita, 12 kanak-kanak perempuan dan lapan kanak-kanak lelaki memasuki negara ini secara haram melalui perairan,” katanya.

Menurutnya, tahun ini pula, ada tiga kes penahanan dan tangkapan membabitkan seramai 490 Pati etnik Rohingya iaitu dua kes berlaku sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 7 dan 13 Mac lalu manakala terbaharu pada 5 April lalu.

“Susulan itu, kita menjalinkan kerjasama dengan agensi lain seperti polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi memperketatkan sempadan negara daripada dicerobohi,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Zubil mengingatkan rakyat Malaysia untuk tidak membantu dan membenarkan Pati menceroboh masuk ke dalam negara yang kini menghadapi pandemik Covid-19.

“Katakanlah Malaysia sudah terkawal dalam kes Covid-19 namun disebabkan kemasukan Pati ini, ia akan mengancam kita semua.

“Kita akan bekerja keras bersama polis dengan ATM mengejar dan memburu Pati serta tekong darat di mana mereka tidak akan diberi peluang dan ruang sebaliknya diburu,” katanya.

Katanya, APMM sentiasa memperkemas dan memperketatkan operasi serta pengawasan perairan negara lebih-lebih lagi ketika jangkitan Covid-19 masih berleluasa.

“Usaha mengawal kemasukan PATI serta mengekang penularan pandemik Covid-19 diyakini berkesan berikutan peningkatan kerjasama agensi Sahabat yang merangkumi ATM, polis dan APMM.

“Penempatan dan penugasan aset ini di sektor yang dibuat berdasarkan persetujuan dan keputusan bersama dengan mengambil kira mengoptimumkan keupayaan serta mengimbangi keluasan sektor awasan,” katanya.

Beliau berkata, APMM sudah menggerakkan hampir keseluruhan aset laut dan udara dengan serius dalam memastikan Malaysia mampu menyekat kemasukan warga asing secara haram yang mungkin berpotensi positif Covid-19.

Sumber: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *