Rimbabara Daily

Semasa, Hiburan & Trending

KEDAH: Seorang lelaki ditahan selepas didapati menghalang tugas anggota polis melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan di Sungai Petani, hari ini. Lelaki berusia 30-an itu ditahan di kawasan rumah ibadat pada 10.30 pagi, hari ini, selepas enggan menerima arahan polis untuk beredar dari kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, sebelum itu lelaki terbabit didapati berkumpul bersama beberapa individu lain di rumah ibadat itu sebelum diminta beredar oleh polis.

“Ketika rondaan dilakukan, polis mendapati terdapat sekumpulan lelaki sedang berhimpun di rumah ibadat berkenaan.

“Kita memberi nasihat dan meminta mereka beredar bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan, namun lelaki terbabit enggan beredar dan bertindak agresif,” katanya ketika ditemui dalam satu operasi yang diadakan di Sungai Petani, hari ini.

Adzli berkata, berikutan itu, lelaki terbabit ditahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Katanya, pihaknya akan mencadangkan supaya tindakan mengikut Seksyen 25 (1) (n) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 dikenakan terhadap lelaki terbabit selepas dia gagal mengemukakan kad pengenalan apabila diminta.

“Kita juga akan mencadangkan supaya lelaki berkenaan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 7 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya.

Beliau meminta orang ramai supaya memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Tangkapan ini sebagai satu mesej kepada masyarakat supaya memberi kerjasama kepada pihak berkuasa semasa menjalankan tugas.

“Sekiranya, masyarakat masih berdegil kita akan bawa ke peringkat seterusnya dengan mengeluarkan denda atau mengambil tindakan mahkamah,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *