Rimbabara Daily

Semasa, Hiburan & Trending

KUALA LUMPUR: Individu layak boleh memohon pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada Akaun 1, mulai bulan depan.

Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP dalam satu kenyataan memaklumkan, jika permohonan diluluskan, amaun boleh diakses sebanyak RM500 sebulan itu akan dikreditkan ke dalam akaun bank pemohon, bermula Januari tahun depan.

 

Katanya, perincian mengenai akses untuk inisiatif pengeluaran itu yang dikenali sebagai i-Sinar, akan diumumkan pada Rabu depan.

“Kemudahan ini perlu dibuat berdasarkan satu perincian secara teliti bagi mengimbangi keperluan ahli menangani cabaran semasa dan memastikan simpanan persaraan untuk kesejahteraan masa hadapan.

“Perincian dan syarat kemudahan pengeluaran tambahan ini akan dibuat pada masa terdekat selepas keputusan akhir dimuktamadkan,” kata kenyataan itu.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, menerusi wawancara khas yang disiarkan TV3 baru baru ini, berkata beliau sudah meminta KWSP untuk memperhalusi cadangan pengeluaran daripada Akaun 1.

Katanya, ia dibuat selepas mendengar keluhan dan rintihan rakyat selepas kerajaan mengumumkan dalam Belanjawan 2021 bahawa hanya pengeluaran bersasar diberikan untuk Akaun 1.

Tengku Zafrul turut berkongsi data kira-kira 42 peratus daripada keseluruhan pencarum KWSP memiliki purata baki simpanan bawah RM5,000.

Permintaan untuk membenarkan pengeluaran Akaun 1 KWSP sebelum ini timbul selepas terdapat cadangan supaya kerajaan membenarkan pengeluaran wang dengan mengehadkan pengeluaran secara sekali keluar atau ‘one-off’ sehingga RM10,000 daripada akaun berkenaan.

Dah baca? Jangan lupa like, share dan komen ya. Terima kasih

Sumber : BHARIAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *