Rimbabara Daily

Semasa, Hiburan & Trending

SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar umat Islam di Selangor menyambut Syawal dengan normal baru.

Baginda bertitah, Aidilfitri kali ini disambut dalam suasana yang amat berbeza di saat umat Islam seluruh dunia diduga dengan penularan Covid-19.

“Beta ingin mengingatkan agar budaya dan amalan biasa ketika menyambut hari raya selama ini harus diubahsuai buat sementara waktu, mengikut normal baharu.

“Amalan seperti kunjung-mengunjung dan bersalam-salaman tidak sesuai diamalkan buat masa ini bagi mengelak risiko penularan wabak yang masih ada di luar sana.

“Budaya balik ke kampung khususnya yang memerlukan perjalanan merentas negeri juga haruslah dielakkan.

“Jangan berkumpul atau anjurkan majlis rumah terbuka yang hanya akan memungkinkan wujudnya kluster baharu jangkitan,” titah baginda di Shah Alam hari ini.

Sultan Sharafuddin bertitah, walaupun statistik jangkitan kes baharu Covid-19 di Selangor semakin menunjukkan penurunan, rakyat harus terus waspada dan mengambil langkah berjaga-jaga.

“Apa yang penting, rakyat mesti bersatu bagi memastikan wabak ini dapat dikawal dan ekonomi negara terus kukuh,” titahnya.

Sempena bulan mulia ini, baginda turut mengingatkan agar sekalian rakyat memperbanyakkan ibadat serta menjauhi perbuatan tidak baik yang boleh mendatangkan dosa seperti menyebarkan fitnah dan berita palsu yang boleh memberi kesan yang tidak elok kepada masyarakat.

“Beta ingin menyeru orang Melayu agar terus bersatu padu, usah bertelagah dan jangan mengadu domba antara satu sama lain demi mengelakkan perpecahan.

“Beta sentiasa berdoa agar Selangor yang kita kasihi ini dan rakyatnya terus dipelihara Allah sebagai sebuah negeri maju, makmur, harmoni serta dijauhi dari malapetaka, bencana dan segala musibah yang tidak kita ingini,” titah baginda.

Baginda dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin turut menzahirkan selamat menyambut Aidilfitri kepada rakyat di Selangor.

Jangan lupa komen yang baik baik sahaja.

Sumber: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *