Rimbabara Daily

Semasa, Hiburan & Trending

Tiada sekatan jangka masa untuk keluar bagi pengguna kenderaan persendirian sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menerusi sidang media harian pada Selasa, Menteri Kanan (Keselamatan) itu berkata, selaras dengan pewartaan PKPB yang bermula pada 4 Mei, pengguna kenderaan persendirian tidak lagi terikat dengan peraturan yang melarang perjalanan melebihi pukul 10 malam.

“Dari segi pergerakan, sudah dibebaskan. Antara daerah dengan daerah sudah pun dibebaskan.

“Jadi tak ada had jangka masa untuk keluar. Dalam peraturan baharu, tak ada (had),” ujarnya.

Penetapan ini berbeza dengan PKP sebelum ini yang mana kerajaan hanya membenarkan seorang pemandu untuk setiap kereta persendirian antara 6 pagi hingga 10 malam.

Menerusi pewartaan PKPB, kenderaan persendirian dengan maksimum empat penumpang telah dibenarkan keluar dengan syarat kesemua penumpang tersebut perlu dari kediaman dan keluarga yang sama.

Bagaimanapun, perjalanan rentas sempadan negeri masih tidak dibenarkan kecuali untuk tujuan hadir bekerja dan pulang semula ke rumah sendiri setelah terkandas di kampung atau di tempat-tempat lain.

Sebelum ini, polis menetapkan tempoh selamat empat hari bermula 7 hingga 10 Mei ini untuk mereka yang terkandas membuat perjalanan rentas negeri, kembali ke kediaman masing-masing di seluruh negara.

“Pulang ke bandar atau bandar ke kampung, kenderaan persendirian dah ditetapkan tapi kenderaan awam saya rasa pihak polis sedang buat kajian secara terperinci berapa jumlah kenderaan awam yang perlu digunakan.

“Sebab rentas negeri masih tak dibenarkan. Oleh itu kenderaan awam seperti bas ekspres belum ada lagi.

“Saya percaya pihak polis akan lihat lebih teliti bagaimana untuk selesaikan isu berkaitan mereka yang ingin pulang ke kampung guna kenderaan awam dan yang ingin pulang pada 7 hingga 10 Mei nanti,” ujarnya.

Apa kata anda? Dah baca, sila share dan komen yang baik baik. Terima kasih

Sumber: MStar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *