Rimbabara Daily

Semasa, Hiburan & Trending

Kuala Lumpur: Usahawan kosmetik sensasi, Nur Sajat memberi bayangan dia mengalami depresi selepas mendakwa mendapat layanan tidak wajar daripada penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), baru-baru ini.

Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruzzaman menerusi satu hantaran di Instagram hari ini berkata, dia tidak layak membuat kebaikan hingga dilayan sebegitu rupa.

“Orang macam saya ini tidak layak buat kebaikan. Main otak sampai saya tak betul. Kadang-kadang tulisan jawi pun sudah nampak terbalik.

“Mungkin mereka suka tengok saya melacur daripada buat kerja elok kot (agaknya). Orang macam saya ini tak layak hidup macam orang biasa. Memang kena duduk dekat lorong buat kerja massage (urut) ataupun melacur online (atas talian). Buat sedekah itu adalah mainan agama.

“Pakaian perempuan pula (pakaian sopan) walaupun sudah mempunyai kemaluan wanita,” katanya berserta tanda pagar #5harimakanubattidur.

Semalam, Sajat menerusi InstaStory miliknya berkongsi foto dia memakai alat pernafasan di sebuah pusat perubatan.

“Bila mati, semua akan tenang. 2021 aku nak tenang, aku nak bahagia. Aku nak hidup macam keluarga lain. Insya-Allah. Terima kasih. Buat saya makin dekat dengan tarikh mati saya,” tulisnya.

Nama Sajat kembali menjadi bahan bualan netizen selepas mendakwa dirinya ditahan JAIS kerana mengadakan majlis doa selamat dan bacaan yassin di pejabatnya di Shah Alam.

Menurut Sajat, dia ditahan pada 6 Januari lalu di Pusat Tahanan Sementara (PTS) di Kuala Kubu Bharu dan dilayan secara tidak wajar walaupun sudah memberi keterangan dan kerjasama sepatutnya kepada JAIS .

“Saya digari, dikasari dengan kata-kata dan tindakan, dicederakan sebegitu rupa. Tangan dan badan saya bengkak kerana pergelutan saya ketika saya mempertahankan diri,” katanya.

Portal Harian Metro hari ini melaporkan JAIS mengesahkan Sajat disiasat mengikut Seksyen 10, Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor.

JAIS dalam kenyataan memaklumkan, siasatan terhadap Sajat dibuat berikutan terdapat beberapa aduan yang diterima mengenai kelakuannya pada 2018 dan 2020.

Menurut jabatan itu, pihaknya juga mengambil maklum berhubung video yang ditularkan usahawan berkenaan berkaitan insiden membabitkan dirinya dan beberapa orang penguat kuasa JAIS, baru-baru ini.

“Sajat sudah membuat laporan polis berkaitan insiden itu. Pegawai penguat kuasa berkenaan juga dipanggil untuk memberikan keterangan,” katanya.

Jangan lupa komen yang baik baik sahaja.

Sumber: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *