Rimbabara Daily

Semasa, Hiburan & Trending

Kota Marudu: Lebih 30 murid sekolah rendah dan tadika bergadai nyawa ke sekolah setiap kali hujan lebat dengan menyeberangi Sungai Jambutan menggunakan saluran paip menghubungkan Kampung Muhang dan Kampung Jambutan Laya-Laya di sini.

Ini kerana mereka perlu menunggu lama selepas hujan berhenti dan paras air sungai surut bagi membolehkan mereka menggunakan jambatan aras rendah yang juga semakin uzur.

Penduduk Kampung Muhang, Zolin Majimun, 29, berkata hujan berterusan menyebabkan jambatan aras rendah itu kerap ditenggelami air dan tidak boleh digunakan.

Katanya, jambatan yang dibina sejak berpuluh tahun itu juga mengalami kerosakan dan hanya boleh dilalui kenderaan empat pacuan roda (4WD) manakala kenderaan lain terpaksa diparkir di tebing sungai dan penduduk berjalan sejauh dua kilometer untuk ke kampung berkenaan.

“Setiap kali jambatan itu ditenggelami air, penduduk terpaksa menggunakan saluran paip air graviti yang menghubungkan ke kampung Jambutan Laya-laya.

“Murid yang ditemani ibu bapa masing-masing memastikan mereka melalui saluran paip itu dengan selamat walaupun licin dan berdepan risiko bahaya,” katanya.

Menurut peniaga di Kota Kinabalu itu, perkara itu dialaminya sejak 2005 ketika dan berlarutan sehingga sekarang.

“Dua kali seminggu saya pulang ke kampung untuk mengambil bekalan buah dan sayur. Tiada pihak yang mengambil tindakan walaupun aduan sudah dikemukakan kepada pihak berkaitan.

“Dulu, pembentung di bawah jambatan aras rendah itu runtuh dan hanya kenderaan berat yang boleh melaluinya. Tetapi, setiap kali hujan lebat berterusan, jambatan itu akan ditenggelami air dan penduduk tiada pilihan terpaksa menyeberangi sungai melalui saluran paip itu,” katanya kepada Harian metro.

Kampung Muhang terletak kira-kira 30 kilometer dari Pekan Kota Marudu itu mempunyai lebih 500 penduduk yang terdiri daripada petani, pekebun dan penoreh getah.

Murid sekolah di kampung itu perlu berjalan sejauh dua kilometer dan menyeberangi sungai sebelum menyambung perjalanan sejauh lima kilometer ke Sekolah Kebangsaan (SK) Temuno, Teringai Darat Kota Marudu.

Difahamkan, kebanyakan pelajar sekolah menengah tinggal di asrama di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bengkongan, Kota Marudu manakala sebahagian penduduk ada yang bekerja di luar kampung.

Photo caption:

1) Penduduk Kampung Muhang Kota Marudu, Zolin Majimun.

2-4) PENDUDUK terpaksa bergadai nyawa menghantar anak masing-masing ke sekolah setiap kali hujan berterusan yang menyebabkan satu-satunya laluan alternatif jambatan aras rendah ditenggelami air.

#kw gadai nyawa, murid, Kota Marudu

Sumber: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *