Rimbabara Daily

Semasa, Hiburan & Trending

Seorang pemandu lori, Muhd Irfan Zikri Mohd Ghazali mencuri perhatian warganet sejak semalam selepas video perkahwinannya dan isteri, Nur Najihah Nazri yang mengalami kecederaan saraf tulang belakang tular di laman sosial.

Menerusi video berkenaan, lelaki berusia 22 tahun itu dilihat mengucup dahi isterinya yang sedang duduk di atas sebuah kerusi roda sebelum memakaikan seutas gelang tangan selepas sah bergelar suami isteri.

Memetik laporan Harian Metro, Muhd Irfan menyatakan hasratnya berkahwin dengan wanita berusia 20 tahun itu bukanlah atas dasar simpati, tetapi kerana dia ikhlas mahu menjaganya hingga akhir hayat.

“Saya mengahwininya bukan kerana simpati tetapi atas dasar cinta dan ikhlas untuk menjaganya sehingga akhir hayat.
“Jujurnya, saya tidak pernah terfikir menamatkan zaman bujang pada usia muda tetapi mungkin sudah sampai jodoh saya untuk berumah tangga.

“Saya tidak tahu keadaan isteri sehingga dia berterus terang namun tiada masalah untuk menerimanya kerana sudah tertarik dengannya sejak awal perkenalan lagi,” katanya.

Berkongsi lebih lanjut, Muhd Irfan berkata dia mula berkenalan dengan isteri pada September lalu menerusi platform permainan dalam talian iaitu PlayerUnknown’s Battleground atau PUBG.

Sementara itu, Nur Najihah meluahkan rasa syukur kerana dijodohkan dengan seorang lelaki yang sudi menerima kekurangannya dari awal perkenalan sehingga kini.

Malah, dia menganggap kehadiran lelaki tersebut memberi semangat baru dalam hidupnya selepas terlibat dalam sebuah kemalangan tiga tahun lalu.

“Saya bergelar Orang Kurang Upaya (OKU) ketika di tingkatan lima selepas motosikal dinaiki dengan bapa dilanggar kereta sewaktu dalam perjalanan ke sekolah.

“Ayah terseliuh bahagian peha tetapi kecederaan saya agak serius hingga lumpuh paras dada ke bawah malah kedua jari tangan juga tidak dapat digerakkan dan akhirnya gagal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” ujarnya.

Alhamdulillah. Tahniah diucapkan kepada pasangan berkenaan! Semoga perkahwinan yang dibina berkekalan hingga syurga hendakNya. Amin.

Sumber: Harian Metro (Redzuan Muharam) , TikTok @jiehxhhh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *