Rimbabara Daily

Semasa, Hiburan & Trending

“SAYA mohon maaf kepada polis dan menyesal atas perbuatan saya,” kata Nursahira Mohd Mizuar, 20. Begitu kata wanita yang didenda RM10,000 dan penjara tiga bulan oleh Mahkamah Seksyen Alor Setar selepas mengaku salah atas tuduhan membuat dan memulakan komunikasi jelik melalui aplikasi Facebook dengan niat menganiaya orang lain pada 31 Mac lalu.

Nursahira berkata, kejadian itu memberi pengajaran dalam hidupnya dan berjanji akan mengubah kelakuannya supaya menjadi wanita lebih baik.

Katanya, sikap marah dan suka meluahkan perasaan di dalam media sosial harus dielakkan kepada sesiapa sahaja kerana ia boleh memberi kesan negatif dalam hidup.

“Saya betul-betul menyesal atas perbuatan saya dan tak akan ulangi kesilapan yang sama, maafkan saya saya polis… saya akan jadikan apa yang berlaku ini sebagai pengajaran bermakna dalam hidup.

“Kejadian ini menyedarkan saya bahawa sikap mudah marah boleh memakan diri, jadi saya harap orang ramai di luar sana tidak melakukan kesilapan sama,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Kiara Mas, Pendang, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Nursahira yang didenda RM10,000 gagal membayar denda berkenaan menyebabkan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tambahan dua bulan ke atasnya.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Alor Setar membenarkan permohonan tertuduh menangguhkan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM10,000 pada Khamis lalu.

Kisah Nursahira yang ditahan selepas memuat naik komunikasi jelik melalui Facebook terhadap anggota polis tular di media sosial dan mendapat perhatian umum.

Nursahira dikatakan marah dengan tindakan polis yang mengarahkannya pulang ke rumah ketika pemantauan Ops Covid-19 di tepi jalan Pendang-Kobah, Batu Menunggul di Pendang pada 27 Mac lalu.

Kisah Nursahira mendapat perhatian usahawan Muhamad Azlan Abdullah @ Ali dari Besut, Terengganu apabila menjelaskan kos guaman sehingga kes itu selesai, selain menjelaskan wang ikat jamin gadis itu sebanyak RM5,000.

Muhamad Azlan berkata, bantuan diberikan bukan kerana bersetuju dengan perbuatannya, sebaliknya mahu kes itu menjadi iktibar kepada semua pihak.

“Dalam keadaan sekarang tugas anggota dan pegawai polis sangat mencabar dalam usaha mengekang penularan Covid-19 sangat dihargai, jadi seeloknya kita beri kerjasama yang baik kepada semua pihak,” katanya.

Jangan lupa komen yang baik baik sahaja.

Sumber: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *